Eric masih hilang, SAR diteruskan

Gambar komposit menunjukkan anggota operasi melakukan pencarian untuk hari ke-5 hari ini (17 Mac 2022).
Advertisement

KUCHING, 17 Mac: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ke-5 untuk Eric Chang Wei Jei, 4 tahun, di kawasan Muara Tebas hari ini masih tiada apa-apa perkembangan baharu.

Anggota operasi yang terdiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba), polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semakin memperluaskan kawasan pencarian dengan pelbagai usaha turut dilakukan saban hari.

Sungai dan hutan diredah, meskipun keadaan cuaca yang tidak menentu dengan harapan untuk menemui Eric yang dilaporkan hilang sejak 7 Mac lalu.

Advertisement

Hari ini, operasi SAR dimulakan seawal jam 8 pagi dan pencarian diperluaskan di kawasan pesisir dalam jarak 1 hingga 1.5 kilometer melalui jalan darat disebabkan air sungai yang masih surut.

Operasi kemudian diteruskan menghala ke Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) sehingga Kampung Semilang dan Kampung Beradek iaitu jarak kira-kira 6.2 kilometer dari pusat kawalan di jeti Muara Tebas.

Bagaimanapun, sehingga jam 6 petang operasi yang turut disertai seekor anjing digelar ‘Bella’ dari Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba juga masih tiada sebarang petunjuk baharu.

Susulan itu, operasi hari ke-5 hari ini terpaksa ditangguhkan dan akan disambung semula esok.

Eric sebelum ini dilaporkan hilang semasa dalam jagaan pengasuhnya di sebuah kawasan perumahan di Bintawa dan laporan kehilangannya telah dibuat oleh ibu Eric pada 7 Mac.

Hasil siasatan polis, pengasuh dan suaminya telah ditangkap dan ditahan reman sehingga 24 Mac ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ini kerana kedua-dua suspek dipercayai telah membunuh Eric dan mayatnya dibuang ke sungai di Muara Tebas. — DayakDaily

Advertisement