Ensawang, Jalan John dan Panjai Ruai jalan tikus kritikal di Lubok Antu

Abang Johari (duduk dua dari kanan) pada sidang media di Lubok Antu

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

LUBOK ANTU, 30 Mac: Sarawak telah mengenalpasti tiga kawasan di Lubok Antu yang menjadi laluan tikus kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ketiga-tiga kawasan yang dilabel sebagai kritikal itu ialah kawasan
Ensawang, Panjai Ruai dan Jalan John.


Namun katanya, penyelesaian dan langkah pengawalan terhadap masalah itu akan dibincangkan bersama agensi terlibat dalam masa terdekat.

“Kita melihat Lubok Antu ada juga pintu-pintu yang tidak sah dan kita akan melihat bagaimana hendak memperketatkan lagi kemasukan mereka supaya mereka boleh masuk melalui pintu yang sah.

“Kita telah mendengar taklimat dan tentu sekali kita akan tengok bagaimana kita hendak mempertingkatkan kawalan di Lubok Antu,” katanya pada sidang media di Dewan Sukan Lubok Antu hari ini.

Terdahulu Abang Johari telah melakukan lawatan kerja ke Komplek Kastam, Imigresen dan Kuarantin(CIQ) Lubok Antu.

Tambah beliau, ketiga-tiga jalan tikus itu sangat mudah untuk dilolosi PATI di mana sebahagian besar kawasan adalah ladang sawit.

Untuk memperketatkan kawalan kata Abang Johari, agensi penguatkuasa seperti polis akan dibekalkan dengan peralatan kamera (drone).

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion. – DayakDaily