Enam Taman Trafik dinaiktaraf dengan kos RM1.6 juta

Dato Sri Lee Kim Shin (file pic)

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 22 Mei: Taman Trafik di enam bahagian akan dinaik taraf dengan peruntukan RM1.6 juta, kata Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin.

Menurut beliau, ia adalah usaha kementerian untuk mengaktifkan semula Permainan Trafik Shell yang diperkenalkan pada tahun 1963.


Katanya, kali terakhir permainan tersebut diadakan adalah pada tahun 2015.

“Kementerian saya mahu mengaktifkan semula Permainan Trafik sebagai satu inisiatif bagi memberi kesedaran pentingnya disiplin dalam mematuhi peraturan jalan raya kepada pelajar sekolah.

“Ia akan dikenali sebagai Permainan Trafik Sarawak,” kata Lee dalam ucapan penggulungan kementerian di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Tambah beliau, enam Taman Trafik sedia ada yang akan dinaik taraf ialah di Bahagian Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Sarikei, dan Sri Aman.

Selain itu katanya, kementerian juga akan melaksanakan program ‘Transport-Awareness Behavioural Change (ABC)’.

“Objektif program adalah untuk membincangkan kelakuan pengguna dan menambah baik keselamatan di jalan raya.

“Kita sedar kelakuan tidak bertanggungjawab sesetengah pengguna jalan raya merupakan penyumbang utama kepada masalah kesesakan dan kemalangan,” katanya. — DayakDaily