Enam suspek lontar ‘bom api dan bahan bakar’ ke rumah ahli perniagaan di Bintulu ditangkap

Kesan letupan bom api dan bahan bakar sehingga menyebabkan kebakaran.
Advertisement

BINTULU, 13 Okt: Seramai enam orang suspek dipercayai terlibat melontar bom api dan bahan bakar di rumah seorang ahli perniagaan telah ditangkap semalam.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Supt Nixon Joshua Ali berkata kesemua suspek ditangkap Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu dalam tempoh kurang 24 jam kes tersebut dilaporkan.

Katanya, tangkapan dibuat hasil daripada siasatan dan penelitian rakaman kamera litar tertutup yang diperolehi daripada tempat kejadian.

Advertisement

“Hasil daripada siasatan dan maklumat yang diperolehi, seramai enam orang suspek ditahan dalam tempoh kurang daripada 24 jam iaitu sekitar jam 4.11 petang.

“Turut dirampas ialah kenderaan, beberapa unit telefon bimbit serta pakaian suspek untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

Sementara semakan rekod kesalahan lampau juga mendapati suspek mempunyai 15 rekod pelbagai kesalahan jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Lai Mei Ching di talian 014-8763824 atau Bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan suasana yang tidak tenteram,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement