KUCHING, 4 Okt: Seorang lelaki cedera akibat diserang selepas menghantar anaknya mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di sini pada 1 Okt lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata mangsa telah didatangi sekumpulan lelaki yang bersenjatakan pisau di perkarangan hospital berkenaan.
Katanya, kumpulan suspek terbabit kemudian menyerang mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala.
“Laporan polis diterima pada jam 7.04 petang dan bertindak kepada maklumat yang ada, seramai enam lelaki tempatan ditangkap pada jam 5.50 petang (2 Okt).
“Kesemua suspek memiliki rekod lampau dalam pelbagai kesalahan melibatkan dadah, jenayah kekerasan dan jenayah komersil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.
“Hasil ujian air kencing juga mendapati lima suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Kesemua suspek ditahan reman sehingga 7 oktober ini untuk siasatan lanjut,” katanya. — DayakDaily