Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami terbakar

Kesan kebakaran melibatkan sebuah rumah.

Oleh Dean Adam

SIMUNJAN, April 4: Enam sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Kanchong Baru, Gedong, terbakar di sini pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.45 pagi.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba dari BBP Simunjan diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah setingkat jenis separuh kekal.

“Pemeriksaan mendapati semua penghuni selamat keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, operasi pemadaman terus dijalankan sehingga api dikawal sepenuhnya.

Katanya, api terkawal sepenuhnya pada pukul 2.48 pagi.

“Buat masa ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” ujarnya. — DayakDaily