Enam penghuni hotel diselamatkan dalam kebakaran di Sibu

Salah seorang mangsa yang diselamatkan oleh pihak Bomba.

SIBU, 28 Mei: Seramai enam individu yang menginap di sebuah hotel di Jalan Emplang, di sini berjaya diselamatkan dari satu kebakaran pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 9.13 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Terdapat penghuni yang terperangkap di bahagian beranda serta tingkap bilik hotel kerana laluan utama telah dipenuhi asap.

“Pasukan Bomba bertindak menyelamat mangsa dan terus memadam kebakaran sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdapat enam mangsa terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berjaya diselamatkan dalam operasi tersebut.

“Kesemua mangsa selamat dan tiada mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Pemantauan dan pemeriksaan dilakukan ke atas semua bilik di hotel tersebut bagi memastikan semua penghuni telah berjaya keluar.

Setelah memastikan keadaan selamat, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily