Enam Kelab 1Malaysia Saratok terima peruntukan RM12,000

Abdul Wahab (empat kanan) bersama-sama ketua-ketua jabatan Daerah Saratok semasa melawat pameran Pusat Maklumat Rakyat JAPEN Daerah Saratok.

SARATOK, April 17: Sebagai tanda sokongan kepada ahli-ahli Kelab 1Malaysia (K1M), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM12,000 kepada enam K1M di daerah Saratok untuk melaksanakan program yang berkesan dan memberi impak terbaik kepada kampung dan rumah panjang masing-masing.

Abdul Wahab membuat pengumuman itu semasa Majlis Penangguhan Program Sepakat Komuniti 1Malaysia di Dewan Rumah Dayak di sini semalam.

Kata Abdul Wahab, K1M mampu membantu kerajaan menyebarkan maklumat dan dasar kerajaan yang betul dan tepat kepada pelbagai lapisan masyarakat.


“Ahli-ahli K1M memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat dan polisi kerajaan yang betul dan tepat kerana maklumat yang tidak tepat akan memberi kesan negatif kepada masyarakat,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, beliau turut menyeru ahli-ahli K1M memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik terutamanya dalam bidang teknikal bagi meralisasikan hasrat kerajaan untuk memperkasakan generasi muda yang menjadi tunjang utama negara di masa hadapan.

Ahli-ahli K1M Daerah Saratok bergambar kenangan dengan Abdul Wahab (berdiri tengah).

Terdahulu, Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman dan Betong, Roszilawati Nor Aziz mengingatkan ahli-ahli K1M untuk bekerjasama dan bergiat aktif di tempat sendiri dalam memastikan apa yang dirancang membawa kebaikan kepada ahli dan masyarakat.

Beliau turut menyeru ahli-ahli K1M agar tidak menyebarkan berita-berita atau maklumat yang tidak benar agar masyarakat tidak keliru dengan maklumat yang diterima dan menyelidik terlebih dahulu sesuatu maklumat yang diperolehi sebelum disebarkan.

Program tersebut telah dihadiri oleh seramai 200 orang ahli daripada enam K1M di Daerah Saratok.

K1M tersebut adalah K1M Pekan Saratok, K1M Kampung Melango Baru, K1M Kampung Sessang, K1M Kampung Melayu Roban, K1M Peligong Sebetan dan K1M Temudok Krian.

Program yang bermula di sebelah petang itu dipenuhi dengan pelbagai aktiviti seperti Pameran Pusat Maklumat Rakyat, Pertandingan Gerak Tari, Pertandingan Karaoke dan Kuiz Kenegaraan dan berakhir dengan Majlis Penangguhan pada sebelah malam.

Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok Mohd Ikmal Abdullah, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Saratok Nazry Mohamat, Pegawai Kanan Polis Daerah Saratok Inspektor Dzifadrin Apin, Pegawai Penerangan Daerah Saratok Florence Sebastian Unting dan ketua-ketua masyarakat. — DayakDaily