Enam barangan terkawal disenarai dalam skim harga maksimum Tahun Baharu Cina

Dato Sri Alexander Nanta Linggi
Advertisement

KUCHING, 26 Jan: Sebanyak enam jenis barangan terkawal disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2022 (SHMTBC 2022) yang berkuatkuasa mulai 29 Januari hingga 4 Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, barangan tersebut adalah ikan bawal putih, udang putih, bawang putih, babi hidup dan daging babi termasuk perut, daging serta lemak.

“Permintaan terhadap barangan tertentu dijangka akan meningkat semasa perayaan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 1 Februari 2022.

Advertisement

“Skim ini adalah sebagai langkah menstabilkan harga barangan dan memastikan keberadaan bekalan di pasaran semasa musim Perayaan Tahun Baru Cina 2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, tambah Nanta, sebanyak 12 jenis barangan telah ditentukan harga maksimum tersenarai di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang sedang berlangsung sehingga 4 Februari depan.

Barangan di dalam senarai SHMKM ialah ayam hidup ‘standard’ dan super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kobis bulat dan timun.

Oleh yang demikian, ujarnya, jumlah keseluruhan barangan harga terkawal bagi pelaksanaan SHMTBC 2022 dan SHMKM adalah 18 jenis.

Barangan tersebut merangkumi kategori ayam, telur ayam, sayur, barangan kering dan daging babi. — DayakDaily

Advertisement