Empat warga Brunei cedera, kereta terbabas

Pasukan Bomba berusaha mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

MIRI, 11 April: Empat warga negara Brunei mengalami kecederaan apabila kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan di Jalan Bandar Baru Permy Jaya , lewat malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.11 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setiba di lokasi kejadian, didapati benar berlaku kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta milik rakyat Brunei.

“Terdapat empat orang mangsa, dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dan dua lagi mangsa masih terperangkap di dalam kereta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Setelah membuat pemeriksaan, pasukan Bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap menggunakan peralatan menyelamat.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut,” katanya.

Pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai selepas memastikan keadaan selamat dan terkawal. — DayakDaily