Empat universiti menandatangani MoA meneroka penyelidikan, pembangunan projek IoT

Awang Tengah (tiga dari kanan) menyaksikan pertukaran dokumen MoA yang sudah ditandatangani antara Wilson (tiga dari kiri) dari Swinburne Sarawak, dengan Jamil (dua dari kanan) dari UiTM Sarawak selepas majlis menandatangani MoA terbabit di Kampus Swinburne Sarawak, Jalan Simpang Tiga.

KUCHING, Okt 17: Swinburne University Of Technology (Swinburne) Kampus Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak dan Curtin Malaysia telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di Kampus Swinburne Sarawak, Jalan Simpang Tiga, di sini, semalam.

MoA tersebut ditandatangani ketika Program Kesedaran Industri 4.0 adalah bagi empat universiti itu mula bekerjasama meneroka penyelidikan dan pembangunan projek ekosistem ‘Internet Of Things’ (IoT) bagi merealisasikan bandar pintar di Sarawak.

Ekosistem itu merangkumi pembinaan dan pengunaan rangkaian kawasan luas berkuasa rendah (LPWAN) dengan peralatan akhir terpilih dan infratsruktur disekeliling lokasi perintis antaranya Kampus Swinburne di Kuching, Kampus Unimas di Kuching dan Kota Samarahan, Kampus UiTM di Kota Samarahan dan Mukah serta Kampus Curtin Malaysia di Miri.


Pakar dari universiti terbabit akan bertanggungjawab dalam penempatan tempatan aplikasi inovatif asas IoT seperti sensor gelung, kamera dan lampu isyarat yang boleh digunakan sebagai peranti akhir bagi pemantauan trafik pintar.

Dokumen MOA itu telah ditandatangani Timbalan Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Professor John Wilson, Naib Canselor Unimas, Professor Datuk Mohamad Kadim Suaidi, Rektor UiTM Sarawak, Professor Dato Dr Jamil Hamali dan Professor Madya Dr Ramasamy Nagarajan yang mewakili Pro Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Curtin Malaysia, Professor Jim Mienczakowski.

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan dan Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Menteri Muda Pembangunan Industri, Malcom Mussen Lamoh menyaksikan majlis menandatangani dokumen MoA terbabit.

Awang Tengah dalam ucapannya bagi merasmikan Program Kesedaran Industri 4.0 berkata Sarawak perlu memanfaatkan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) bagi meningkatkan daya saing sektor pembuatan di negeri ini dan tidak boleh terus bergantung kepada strategi kos rendah, teknologi rendah dan berintensifkan tenaga buruh.

“Pengangkatan IR4.0 akan meningkatkan dengan ketara produktiviti kita dan juga memaksimumkan pengunaan sumber kita, supaya kita boleh kekal berdaya saing dalam persekitaran global yang mencabar ini,” katanya.

Katanya ini kerana Sarawak mempunyai populasi penduduk yang kecil tetapi mempunyai keluasan tanah dan banyak sumber semulajadi maka perindustrianlah halatuju kehadapannya dan bagi Sarawak membuat peningkatan besar ke Industri 4.0 adalah bukan tugas mudah yang memerlukan maklumbalas positif terhadap perubahan supaya tidak ketinggalan.

“Jadi program ini adalah sesuai pada masanya kerana mensasarkan mengalakkan lebih ramai pengilang Sarawak untuk bergerak ke arah Industri 4.0. Pada masa sama, program juga menjalinkan ekosistem industri-akademik lebih kuat yang menangani keperluan khusus dan jangkaan dalam industri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua anak Sarawak terutama yang terbabit dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) di negeri ini untuk mengambil langkah yang berani ke arah Industri 4.0. — DayakDaily