Empat syarikat labur RM6.31 bilion di Taman Teknologi Sama Jaya

Awang Tengah menghadiri mesyuarat bersama wakil-wakil dari empat syarikat yang melabur RM6.3 bilion di Taman Teknologi Sama Jaya.

KUCHING, 14 Julai: Taman Teknologi Sama Jaya di Kuching menerima pelaburan luar sebanyak RM6.31 bilion menerusi empat buah syarikat, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak(UKAS), ia melibatkan syarikat Taiyo Yuden (Sarawak) Sdn Bhd, HGST Malaysia Sdn Bhd, IMM Technologi Sdn Bhd dan Longi Kuching Sdn Bhd.

Awang Tengah juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan pada semalam telah menghadiri satu mesyuarat secara atas talian bersama wakil keempat-empat syarikat.


“Syarikat multinasional di Sama Jaya telah meneruskan rancangan pengembangan mereka yang besar dengan mencerminkan keyakinan sepenuhnya terhadap dasar mesra perniagaan serta kemampuan Kerajaan Sarawak untuk menangani wabak Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Syarikat E&E telah menunjukkan prestasi yang baik walaupun dalam wabak pandemik Covid-19.

Ini disebabkan permintaan tinggi untuk produk berkaitan E & E seperti solar, kapasitor seramik pelbagai lapisan, substrat aluminium dan lapisan tembaga di dunia.

Katanya, Taman Teknologi Sama Jaya telah mengeksport barangan bernilai RM6.93 bilion pada tahun 2020, iaitu meningkat 27.5 peratus berbanding tahun 2019.

Berhubung program pemberian vaksin pekerja industri, Awang Tengah berkata hampir keseluruhan 13,700 tenaga kerja di Sama Jaya telah menerima dos pertama.

Mesyuarat turut dihadiri Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Malcolm Mussen Lamoh dan Setiausaha Tetap kepada MINTRED Datu Liaw Soon Eng. — DayakDaily