Empat suspek ditangkap berkaitan kehilangan Eric

Ahsmon (right) and Eric.

KUCHING, 11 Mac: Empat suspek yang memiliki 17 rekod jenayah lampau ditangkap untuk siasatan berhubung kes kehilangan seorang budak lelaki, Eric Chang Wei Jie, 4, dari Bintawa.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata keempat-empat suspek berusia 24 hingga 49 tahun.

Katanya, dua daripada suspek ialah wanita ditangkap pada 9 Mac dan dua lagi suspek lelaki ditangkap baru-baru ini.


“Dalam kes ini, pihak polis membuat empat tangkapan iaitu dua lelaki dan dua wanita warga tempatan lingkungan umur 24 hingga 49 tahun bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan rekod lampau, kesemua suspek mempunyai 17 rekod jenayah iaitu 14 kesalahan dadah, dua jenayah harta benda dan satu jenayah komersial,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dedahnya juga, hasil saringan urin juga mendapati kesemua suspek positif dadah jenis syabu.

Kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuching untuk permohonan reman dan soal siasat lanjut.

“Berhubung kes ini, polis telah membuka dua kertas siasatan iaitu satu kes orang hilang dan satu kes di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu terhadap aspek kecuaian dan pengabaian terhadap penjagaan kanak-kanak,” katanya.

Jelasnya juga, pihak polis telah menubuhkan satu pasukan khas bagi memperluaskan usaha pencarian.

“Justeru, pihak polis menyarankan orang ramai untuk tampil memberi kerjasama jika mempunyai maklumat berkenaan kanak-kanak tersebut,” katanya.

Sementara itu, DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang daripada suspek yang ditangkap adalah ibu mangsa.

Suspek ditangkap bersama seorang rakannya iaitu seorang wanita yang juga merupakan penjaga mangsa.

Untuk sebarang maklumat berkaitan mangsa, boleh disalurkan dengan menghubungi Inspektor Hasmah Abdul Jalil di talian 013-6852210 atau hubungi IPD Kuching di talian 082-244444. — DayakDaily