Empat sekeluarga nyaris maut dalam kemalangan

Anggota bomba berusaha mengeluarkan mangsa.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BINTULU, Dis 22: Empat sekeluarga nyaris maut selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki mereka terbabas lalu terhumban masuk ke kawasan belukar di Jalan Sibu-Bintulu di sini malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 9.55 malam itu, kesemua mereka selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Advertisement

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10 malam.

Kelihatan sebuah kenderaan terhumban dalam kawasan belukar.

Jelas beliau, sepasukan sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu kemudian bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima laporan kejadian itu.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati seorang wanita iaitu ibu kepada dua anak masih terperangkap di dalam kenderaan berkenaan.

“Manakala, si suami dan anak mereka telah dikeluarkan oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan kejadian,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang terperangkap dengan menggunakan peralatan khas.

Katanya, mangsa yang berjaya dikeluarkan kemudian diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada pukul 11.15 malam,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement