Empat peragut di Bandaraya Kuching ditangkap dalam masa 48 jam

Kelihatan salah seorang daripada empat suspek yang berjaya ditangkap polis.

KUCHING, 11 Mei: Empat rakan penjenayah tegar yang melakukan aktiviti ragut di sekitar Bandaraya Kuching berjaya ditangkap baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa dalam satu kenyataan hari ini berkata, kesemua suspek ditangkap di lokasi berbeza setelah tangkapan pertama berjaya dilakukan di kawasan BDC Kuching.

“Tangkapan berjaya dibuat dalam tempoh 48 jam selepas laporan dibuat oleh pengadu.


“Susulan tangkapan ke atas suspek pertama, ia membawa kepada tangkapan tiga lagi di lokasi berbeza iaitu di Jalan Canna dan di Jalan Simpang Tiga,” katanya.

Menurut Merbin, terdahulu pihak polis telah menerima satu aduan dari mangsa ragut dalam kejadian di Jalan Pending pada 26 April lepas.

Dalam kejadian itu, mangsa kerugian RM1,500 setelah telefon bimbit dan beg sandang yang mengandungi wang tunai serta barang peribadi lain diragut oleh kumpulan tersebut.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, ia membawa kepada rampasan barang kes mangsa seperti kad ATM, kad pengenalan diri dan buku nota milik mangsa.

“Turut dirampas dua motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha 125Z, topi keledar dan pakaian yang digunakan semasa melakukan jenayah,” ujar Merbin.

Tambah beliau, kesemua suspek merupakan warga tempatan dan berusia dalam lingkungan 20 hingga 32 tahun dan tiada pekerjaan tetap.

Semakan ke atas rekod jenayah mendapati kesemua suspek mempunyai banyak rekod lampau berkaitan dengan jenayah harta benda dan juga dadah dan saringan urin mendapati mereka positif dadah jenis methampethamine.

Kes ini disiasat atas kesalahan melakukan samun berkumpulan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan. — DayakDaily