KUCHING, Mac 10: Empat pemancing ikan berdepan detik mencemaskan apabila sebuah bot dinaiki mereka karam di Pulau Talang Besar dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.13 tengah hari itu, empat mangsa yang selamat dikenal pasti sebagai Mohd Esa Sa’at, 32, Ahmad Nizam Jamali, 47, Freddy Shiro Deri, 39, dan Norhisham Rambli, 34.
Pengarah Maritim Daerah Kuching, Kapten Maritim Shahref Steve Mac Queen Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.15 tengah hari.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat diterima, bot yang dinaiki empat pemancing karam pada kedudukan lima batu nautika dari Sematan.
“Sejurus aduan diterima, sebuah kapal maritim KM Mengalum telah diatur gerak ke lokasi untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat empat pemancing tersebut.
“Sebaik tiba di Pulau Talang Besar pada pukul 3.30 petang, KM Mengalum telah berjaya menemui kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, jurucakap sama menambah, kesemua mangsa terbabit kemudian dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, Muara Tebas di sini.
Katanya, kesemua mangsa telah selamat tiba pada pukul 6.30 petang tadi sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Jika terdapat sebarang kemalangan atau kejadian kecemasan di laut Sarawak, hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Wilayah Sarawak (082-432544) atau talian kecemasan 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia,” katanya lagi. — DayakDaily