MIRI, 5 Feb: Empat nelayan hanyut di dalam tong ikan sejak 30 Januari lalu berjaya diselamatkan di kira-kira 75 batu nautika dari muara Sungai Miri semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Maritim Sarawak Kepten Maritim Mohd Shafie Paing berkata keempat-empat nelayan terbabit merupakan warga tempatan berusia lingkungan 25 hingga 44 tahun.
Katanya, mereka telah keluar ke laut pada 29 Januari dan pada awal pagi 30 Januari, bot mereka telah karam dipukul ombak.
“Keempat-empat mangsa telah ditemui hanyut di dalam tong ikan dan mereka kemudian diselamatkan untuk dibawa Jeti Marina Bay, Miri bagi tindakan selanjutnya.
“Mangsa kelihatan dalam keadaan lemah akibat hidrasi seterusnya dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim agar memastikan bot dalam keadaan baik dan membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk.
“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, Maritim Malaysia menasihatkan agar sentiasa memakai jaket keselamatan dan membawa bersama peranti Personel Located Beacon (PLB) untuk memudahkan pasukan penyelamat terus ke lokasi kecemasan,” katanya.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus melalui talian MERS999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/082-432016 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily