Empat lelaki ditangkap dalam Op Lejang di Kuching

Suspek ditangkap di hadapan sebuah bengkel di Batu Lintang.

KUCHING, 16 Feb: Seramai empat lelaki tempatan berjaya ditangkap dalam Op Lejang IPD Kuching yang diadakan bermula 11 Feb lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata tangkapan pertama membabitkan tiga suspek yang ditangkap ketika melakukan pecah masuk sebuah bengkel di Jalan Datuk Mustapha.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditangkap dan pelbagai peralagan komponen kenderaan dicuri dianggarkan bernilai RM3,000 dirampas daripada suspek.


“Semakan rekod mendapati kesemua suspek terbabit mempunyai 13 rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Hasil saringan air kencing juga mendapati kesemua suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, tangkapan kedua membabitkan seorang suspek yang ditangkap di hadapan sebuah bengkel motosikal di Jalan Batu Lintang.

“Suspek dikatakan cuba menjual motosikal yang dicuri kepada bengkel tersebut,” katanya.

Kesemua suspek ditangkap untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah bengkel) dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Jika disabitkan kesalahan, hendaklah dihukum penjara dari satu hingga 14 tahun dan boleh didenda atau disebat,” katanya. — DayakDaily