Empat kertas siasatan akan dibuka berhubung kes guru liwat murid

Royal Malaysia Police logo
Advertisement

LAWAS, Mei 21: Empat kertas siasatan akan dibuka berhubung kes seorang guru lelaki yang ditahan selepas disyaki mencabul dan meliwat lima murid di sebuah sekolah rendah sejak 2016.

Ketua Polis Daerah Lawas, Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu kini masih lagi ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.

Jelas beliau, polis juga tidak menolak kemungkinan beberapa orang murid akan membuat laporan polis berhubung kes sama.

Advertisement

“Kita jangka akan ada lagi mangsa (murid) di sekolah sama membuat laporan polis bagi siasatan seterusnya,” katanya.

Sebelum ini, suspek yang berasal dari Johor telah diberkas sepasukan anggota polis di Kota Kinabalu, Sabah pada Mei 18 lalu.

Difahamkan, perbuatan durjana suspek yang disyaki mencabul dan meliwat muridnya berlaku sejak 2016.

Bagaimanapun, ketika itu tiada mangsa yang berani tampil ke depan untuk membuat laporan polis sehingga kes itu terbongkar pada Sabtu lepas selepas salah seorang mangsa membuat laporan terhadap suspek. — DayakDaily

Advertisement