Empat beranak tinggal sehelai sepinggang, rumah didiami terjejas akibat kebakaran

Keadaan rumah yang terjejas akibat kebakaran.

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Mei 19: Sebuah keluarga di Kampung Niup dekat sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam satu kebakaran, petang tadi.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden membabitkan rumah yang didiami oleh empat penghuni itu.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Christian Olas, berkata Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.35 petang.

Susulan itu, katanya, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan, dan BBP Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati api sedang marak melibatkan sebuah rumah jenis kekal.

“Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 3 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada pukul 3.48 petang,” katanya di sini hari ini.

Jelas Christian, anggaran kemusnahan rumah itu adalah kira-kira 80 peratus.

“Punca kebakaran serta jumlah kerugiaan masih lagi dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily