Empat beranak hilang rumah sekelip mata akibat kebakaran

Keadaan kebakaran melibatkan sebuah rumah di Daro.
Advertisement

DARO, Julai 25: Empat sekeluarga hilang tempat tinggal sekelip mata selepas kediaman mereka yang terletak berhampiran Masjid Tunku Abdul Rahman Daro di sini musnah dalam kebakaran malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, empat beranak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut dari Balai Polis Daro pada pukul 8.34 malam.

Advertisement

Katanya, sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan tindakan selanjutnya.

“Perjalanan BBP Mukah ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira dua jam dengan menggunakan jalan darat dan feri.

“Pasukan bomba tiba di tempat kejadian pada pukul 10.48 malam dan mendapati sebuah rumah berstruktur tidak kekal telah terbakar 100 peratus,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pemeriksaan awal mendapati anggaran keluasan rumah tersebut adalah 40kaki X 30kaki.

Jelasnya, pihak bomba kemudian bertindak membuat pemadaman untuk memastikan api padam sepenuhnya.

“Semasa kejadian berlaku tiada penghuni berada di rumah berkenaan.

“Setakat ini, pihak bomba masih menyiasat punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran tersebut,” kata Tiong lagi. ā€” DayakDaily

Advertisement