Elaun pengerusi JKKK kekal RM900 sebulan, Sarawak tanggung baki RM400

Uggah delivering his winding-up speech in the august House - File pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Nov: Kerajaan Sarawak akan meneruskan pembayaran elaun RM900 sebulan kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang meliputi tuai rumah, ketua kampung dan kapitan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata pembayaran tetap diteruskan walaupun kerajaan Pakatan Harapan telah membuat keputusan untuk mengurangkan elaun tersebut kepada RM500.

“Polisi elaun baharu kerajaan pusat melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar hanya membayar RM500 sebulan.

“Oleh kerana kita telah membuat keputusan untuk mengekalkan bayaran RM900 sebagai elaun kepada pengerusi JKKK, maka kerajaan Sarawak akan membayar baki RM400,” katanya pada ucapan penggulungan Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan II menambah, Menteri Kerja Raya Baru Bian pada 6 November lepas telah mengumumkan yang bermula tahun hadapan, Sarawak tidak lagi menerima RM500 yang dijanjikan Pakatan sebagai bayaran elaun kepada pengerusi JKKK.

“Saya ingin memberi jaminan kepada semua pengerusi JKKK agar tidak risau dengan keputusan ini kerana kerajaan Sarawak akan terus membayar elaun RM900 sebulan melalui belanjawan negeri.

“Ingin saya tekankan di sini yang JKKK sentiasa menjalankan tanggungjawab dengan berkesan,” katanya.

Di samping itu, Uggah berkata kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM100 juta bagi memperkasakan institusi JKKK agar keupayaan mereka semakin mantap dan berkesan. — DayakDaily