Elaun khas petugas barisan hadapan kesihatan Pick naik kepada RM600

A stethoscope. - DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 28 Jun: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan elaun khas petugas barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) dinaikkan kepada RM600.

“Kadar pembayaran elaun khas kepada 14,000 barisan hadapan kesihatan yang terlibat dalam (Pick) diselaras daripada RM200 kepada RM600 selama enam bulan bermula Julai 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.


Beberapa hari lalu, beliau juga telah mengumumkan kenaikan bayaran sagu hati daripada RM50 kepada RM100 sehari bagi sukarelawan kesihatan yang bertugas melebihi 12 jam sehari bermula Jun 2021.

Bayaran sagu hati ini, katanya, turut diperluas kepada mereka yang bertugas di lapangan selain Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seperti di pusat kuarantin.

“Kedua-dua inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta.

“Peruntukan ini merupakan pengiktirafan berterusan kepada jasa dan sumbangan barisan hadapan kesihatan kita yang masih terus berjuang demi bangsa negara yang tercinta,” ujar Muhyiddin. — DayakDaily