Elak politik perpecahan agar tidak tertinggal, kata Ali Biju

Ali Biju (file photo)

KUCHING, 1 Ogos: Ahli Parlimen Saratok Ali Biju menasihatkan penduduk Saratok agar bersatu dan mengelakkan politik perpecahan seperti yang berlaku di Sabah dan Semenanjung.

“Jangan berpecah kerana perpecahan membawa banyak kemudaratan, kecoh macam di Sabah, macam di Semenanjung,” katanya ketika ditemubual di stesen radio Saratok FM, semalam.

Ali Biju, yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, berkata politik perpecahan sudah pernah dialami penduduk Parlimen terbabit dan perkara itu sudah berlalu serta perlu dilepaskan mereka.


“Politik yang memecahkan dan politik yang berlainan kita sudah alami di Saratok, lepaskan lah, itu sudah berlalu. Kita mesti melihat masa depan Saratok ini supaya kita tidak tertinggal,” katanya.

Selain itu, beliau berkata keadaan politik ketika ini juga sudah banyak berubah dan berharap penduduk Saratok memahaminya dengan Sarawak adalah satu negeri paling stabil politiknya sekarang ini.

Beliau juga berpesan kepada warga Saratok untuk sama bersatu dalam satu gerakkan untuk rakyat dan tidak perlu banyak berpolitik tetapi bekerja untuk rakyat.

“Kita bersatu dalam satu gerakkan yang mementingkan rakyat, bukan mementingkan pemimpin seseorang, bukan untuk mengangkat seseorang sebagai Perdana Menteri, kita mengangkat rakyat,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan projek naik taraf jalan menuju ke Perpat dengan peruntukan dianggarkan sebanyak RM117 juta  akan bermula dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) tahun hadapan.

Selain itu, katanya projek jalan dari Kampung Kupang sehingga simpang Bajau di Saratok yang dianggarkan akan menelan kos lebih kurang RM90 juta,  tender perundingannya dijangka dikeluarkan hujung bulan ini.

“Dan Jambatan Sungai Krian yang ditunda semasa pemerintahan PH (Pakatan Harapan), kita akan menyambung balik projek ini yang kosnya lebih kurang RM90 juta juga,” tambahnya dengan projek terbabit ditunggu-tunggu penduduk Saratok.-DayakDaily