Elak langgar kenderaan lain, nyawa penunggang motosikal yang melayang

Keadaan motosikal mangsa dan lori selepas kemalangan tersebut.

SRI AMAN, 11 Ogos: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya parah akibat dilanggar sebuah lori di Kilometer 12 Jalan Sri Aman-Kuching pagi tadi.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata mangsa dikenali sebagai Haderi Dee Jeni, 36 tahun semasa kejadian menunggang motosikal dan dibonceng rakannya sekitar jam 9.30 pagi.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu lori terbabit yang cuba mengelak daripada merempuh sebuah kenderaan lain yang berhenti secara tiba-tiba di hadapannya.


Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Sri Aman manakala pemboncengnya, lelaki berusia 27 tahun cedera parah.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati lori terbabit bergerak lurus dari arah Sri Aman ke Kuching cuba mengelak kenderaan di hadapannya yang berhenti tiba-tiba.

“Pemandu lori terbabit menekan brek namun brek namun tidak berfungsi dengan baik lalu mengambil keputusan mengelak dan memasuki laluan bertentangan sehingga terlanggar motosikal yang ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexson menambah pemandu lori terbabit, lelaki berusia 31 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1981. — DayakDaily