Elak langgar anjing, sebuah van hilang kawalan lalu rempuh pokok sawit

Kelihatan van yang hilang kawalan sebelum merempuh pokok sawit di Ladang Tiga, Jalan Selangau-Mukah.

MUKAH, Mei 24: Dua wanita dan seorang lelaki terselamat selepas sebuah van yang dinaiki terbabas lalu melanggar pokok kelapa sawit di Ladang Tiga, Jalan Selangau-Mukah dekat sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu telah mengakibatkan ketiga-tiga mangsa cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, sebelum kejadian ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan menuju ke arah Selangau dari Mukah.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kemalangan, van yang pandu seorang wanita dikatakan tiba-tiba hilang kawalan selepas pemandu itu cuba mengelak daripada merempuh seekor anjing.

“Akibat hilang kawalan, van tersebut telah terbabas sebelum merempuh pokok kelapa sawit di bahu jalan berkenaan.

“Impak kemalangan itu mengakibatkan pemandu van itu tersepit, manakala dua penumpang lain pula mengalami kecederaan ringan,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Selangau untuk menerima rawatan lanjut.

Sementara itu katanya, pihak bomba turut berada di lokasi kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.42 malam,” katanya. ā€” DayakDaily