Elak jadi kontraktor ‘sekadar siap’, kata Miro Simuh

Miro (kiri) meninjau kerja-kerja naiktaraf dapur serta bilik gerakan Kampung Merembeh.
Advertisement

BAU, Julai 9: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh berharap para kontraktor yang terlibat dalam projek pembangunan di kawasan Serembu dapat menyiapkan kerja mengikut jadual dan tempoh yang telah ditetapkan.

Menurutnya, kontraktor yang dilantik haruslah mematuhi perjanjian kontrak dan menyiapkan kerja mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Selain memikirkan keuntungan, mereka (kontraktor) perlu memikirkan manfaat jangka masa panjang sesebuah projek itu kepada rakyat.

Advertisement

“Ini kerana, kita tidak mahu projek ‘sekadar siap’ semata-mata dan memastikan kerajaan tidak menanggung kerugian dan implikasi pada masa akan datang,” katanya semasa melakukan tinjauan beberapa projek di DUN Serembu.

Miro menambah, tidak dinafikan terdapat beberapa projek yang lewat dalam tempoh ditetapkan, namun pihak kontraktor perlu bertanggungjawab untuk menyiapkan demi kemudahan rakyat akar umbi.

Katanya, sekiranya kontraktor bersikap sambil lewa, ia bukan sahaja memberi nama buruk kepada kerajaan negeri tetapi menyusahkan rakyat.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan kontraktor yang sambil lewa kerana akhirnya kerajaan yang akan tanggung beban kelak.

“Sekiranya berlaku kelewatan atau sebarang masalah, bukannya syarikat berkenaan yang mendapat nama buruk tetapi sebaliknya kerajaan atau wakil rakyat akan dituduh dengan pelbagai tohmahan seperti berlaku ketirisan dan penyelewengan,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu, Miro berharap pihak kontraktor terbabit dapat memperbaiki hasil kerja dan membuat pelaksanaan mengikut butir-butir spesifikasi yang telah ditetapkan dalam pelan projek sebelum ini. — DayakDaily

Advertisement