Eksport lada Malaysia catat RM96 juta setakat Ogos 2023

Fadillah melawat pameran di IPC ASM ISE Ke-51 di Kuching.

KUCHING, 7 Nov: Setakat Ogos lepas, Malaysia mencatatkan prestasi eksport industri lada sebanyak RM96 juta.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPM) menerusi satu kenyataan berkata, Malaysia juga merupakan pengeluar lada kelima terbesar dunia dengan 32,724 tan selepas Vietnam, Brazil, Indonesia dan India pada 2022

“Kementerian akan terus meningkatkan usaha untuk mencari peluang pasaran baharu di benua Eropah termasuk negara-negara Skandinavia,” katanya.


Sehingga hari ini, terdapat kira-kira 38,587 pekebun kecil lada dengan keluasan tanaman 8,091 hektar di Malaysia.

Menurut KPM, industri lada bukan sahaja menawarkan lebih daripada sekadar perasa untuk hidangan, malah turut memainkan peranan penting dalam menjana pendapatan pengusaha lada, peningkatan ekonomi dan menjamin keselamatan makanan.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KPM Dato Sri Fadillah Yusof telah merasmikan ‘The 51st Annual Sessions and Meetings of International Pepper Community and International Spice Exhibition’ (IPC ASM ISE Ke-51) di sini. — DayakDaily