Eksport ayam dihentikan mulai 1 Jun, langkah menstabilkan harga dan bekalan

Dato Sri Ismail Sabri Yaakob

KUCHING, 23 Mei: Mesyuarat Kabinet hari ini membuat ketetapan menghentikan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan bermula 1 Jun ini sehingga harga dan pengeluaran ayam kembali stabil.

Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, ia adalah langkah jangka pendek bagi menangani isu bekalan serta harga ayam dengan keutamaan kerajaan adalah rakyat sendiri.

Ini berikutan tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.

Beberapa ketetapan lain yang diambil ialah mewujudkan stok penimbal ayam dan mengoptimumkan fasiliti penyimpanan bilik sejuk sedia ada milik Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi).

Ini termasuk memansuhkan ‘Approved Permit’ (AP) ayam termasuk ayam bulat dan keratan ayam bertujuan meningkatkan peluang penglibatan pengimport untuk menyediakan lebih banyak sumber bekalan dan mempermudahkan proses tuntutan subsidi oleh pengeluar ayam dan menambah dan mengiktiraf loji sembelihan di luar negara bagi meningkatkan pengeluaran bekalan ayam.

Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.

Bagaimanapun, tegas Ismail Sabri, pihak kerajaan mendapati beberapa syarikat besar yang tidak berminat untuk memohon subsidi dan mahukan kerajaan membiarkan harga ayam ditentukan sendiri oleh pasaran.

Setakat ini, hanya RM50 juta subsidi telah dibayar kepada penternak yang kebanyakannya adalah syarikat kecil.

Dalam kenyataan itu, menurut Ismail Sabri, kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar.

Justeru katanya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.

“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” tegas beliau.

Perdana Menteri juga memaklumkan bahawa mesyuarat Kabinet hari ini bersetuju supaya AP gandum dibatalkan.

Ini susulan daripada pengumuman berkaitan pemansuhan AP bahan makanan.

“Semua kementerian juga diminta menyenaraikan AP bagi barangan lain yang boleh dimansuhkan untuk menjaga kepentingan pengguna Keluarga Malaysia,” kata Ismail Sabri. — DayakDaily