Ekspedisi Bermotosikal Abang Johari tiba di Kapit, rasmikan Kapit Town Square

Abang Johari memulakan ekspedisi dari Eco-Park di Sibu Jaya.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


Oleh Chris Bishop

KAPIT, 4 Okt: Lawatan kerja dan Ekspedisi Bermotosikal dari Sibu ke Kapit yang diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tiba di Kapit Town Square sekitar jam 3.30 petang ini.

Bermula di Eco-Park Sibu Jaya pada jam 8.50 pagi tadi, konvoi yang disertai lebih 100 buah motosikal berkuasa tinggi itu menempuh perjalanan sejauh 57 km sebelum berehat di Pasar Kanowit.


Abang Johari (tiga dari kiri) mengadakan lawatan ke Projek Rakyat Waterfront Song.

Di Kanowit, Abang Johari melakukan tinjauan ke Pasar Tamu Kanowit serta sarapan bersama masyarakat di Gerai Serbaguna Kanowit.

Turut disertai Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing, konvoi seterusnya bergerak ke Ngungun sejauh 37 km di mana Abang Johari telah memeriksa jalan ‘missing link’ Ngungun ke Temalat sejauh 9 km yang bakal siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini.

Abang Johari bermotosikal melalui Jalan Ngungun-Temalat

Sebaik tiba di Pekan Song sekitar jam 1 tengahari, Abang Johari meninjau Projek Rakyat Waterfront Song sebelum berhenti rehat tengahari.

Konvoi meneruskan perjalanan dari Song ke Kapit sejauh 51 km pada jam 2.40 petang di mana Abang Johari seterusnya merasmikan Kapit Town Square bersama penduduk setempat.

Kehadiran Abang Johari di Kapit Town Square disambut meriah penduduk setempat.

Turut serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Perlancongan Kesenian Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion dan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong.-DayakDaily

Abang Johari memotong riben sebagai simbolik merasmikan Kapit Town Square.