Oleh Dean Adam
MIRI, Jan 29: Seorang eksekutif jualan kerugian RM3,999.62 akibat ditipu sindiket ‘Macau scam’, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kejadian itu menimpa seorang lelaki berusia 36 tahun.
Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan daripada seorang lelaki Cina yang menggelarkan diri sebagai Khoo Waiy Keat.
“Suspek kemudian menyatakan dirinya dari Bank Negara Malaysia dan memaklumkan yang mangsa tidak membuat pembayaran pinjaman selama 3 bulan.
“Mangsa kemudian dikehendaki membuat bayaran RM2,459.15 bagi menyelesaikan hutang pinjaman bank dan akaun bank mangsa akan dibekukan jika tidak membuat bayaran,” katanya di sini hari ini.
Mustafa menambah, mangsa yang dalam keadaan panik kemudian telah diarahkan pergi ke RHB Bank dan memindahkan semua wang yang ada dalam akaun iaitu RM1,499 ke dalam akaun Ambank suspek.
Ujarnya, mangsa seterusnya diarahkan ke Public Bank dan memindahkan semua wang yang ada dalam akaun iaitu RM2,500.62 juga ke akaun Ambank suspek.
“Mangsa kemudian menyedari telah ditipu sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily