e-bazar: Pesanan secara atas talian melalui sistem e-hailing dibenarkan — Ismail Sabri

Social media applications on a mobile phone. — DayakDaily.com file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 15: Pesanan secara atas talian seterusnya dihantar ke rumah melalui sistem e-hailing adalah kaedah yang dibenarkan dalam pelaksanaan e-bazar Ramadan setakat ini.

Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan dibuat pada mesyuarat Kabinet yang diadakan pagi tadi.


Namun katanya, kerajaan masih mempertimbangkan dua lagi konsep yang dicadangkan iaitu secara panggilan dan ambil di gerai-gerai dan kaedah pandu lalu.

“Pihak kabinet meminta supaya cadangan ini diperhalusi kerana ada kebimbangan boleh meningkatkan jumlah kenderaan apabila diperkenalkan.

“Saya percaya ramai yang akan keluar serentak, yang seterusnya menambah jumlah kenderaan,” katanya ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya hari ini.

Kebimbangan kedua, tambah Ismail Sabri, rakyat mungkin menggunakan alasan tersebut untuk keluar dan menyukarkan tugas pihak polis dalam pelaksanaan PKP.

“Pihak polis juga akan bimbang, rakyat akan keluar untuk mengambil pesanan atau membeli di pusat pandu lalu sebagai alasan,” katanya.

Kaedah e-bazar dipertimbangkan kerajaan susulan pengumuman tidak membenarkan bazar ramadan di seluruh negara dibuka tahun ini. — DayakDaily