Oleh Chris Bishop
KUCHING, 30 Nov: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menyiasat dakwaan berhubung perbezaan caj rawatan di klinik swasta bagi pembayaran secara tunai dan menggunakan kad insuran perubatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia sesuatu yang amat membimbangkan dan perlu perhatian segera.
“Saya mahu semak dan siasat perkara ini dahulu. Kita akan bertindak setelah mendapat maklumat. Dakwaan ada perbezaan caj bagi mereka yang membayar secara tunai dan pemegang insuran polisi insuran, saya akan siasat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program KampungKu Sihat Peringkat Parlimen Stampin di Dewan Serba Guna Kampung Tematu, di sini, hari ini.
Pada sidang media itu, beliau turut menggesa orang ramai yang pernah menghadapi situasi tersebut untuk tampil membuat aduan terus ke laman ckaps.aduan@moh.gov.my
Katanya, setiap kes perlu disiasat secara berasingan walaupun memiliki simpton yang sama, iaitu rawatan dan pemeriksaan yang sama, tetapi bayaran berbeza.
Terdahulu dalam ucapan perasmian, Dr Dzulkefly berkata Program KampungKu Sihat merupakan inisiatif baharu KKM dalam memberikan penekanan kepada umum tentang masalah kesihatan awam terkini.
Ujar beliau, ia adalah penglibatan secara langsung pihak pengurusan tertinggi KKM dan pemimpin masyarakat dalam memberikan mesej kesihatan yang berkaitan.
“Pengisian program terdiri dari lawatan ke rumah dan di beberapa lokasi oleh pasukan perubatan dan kesihatan.
“Ia bertujuan menyampai mesej kepentingan melakukan ujian saringan kesihatan bagi mengesan faktor risiko penyakit tidak berjangkit,” katanya.
Tambah Dr Dzulkefly lagi, Penyakit Tidak Berjangkit ataupun NCD (Non Communicable Diseases) yang merupakan penyebab utama kematian pramatang di Malaysia.
Menurut beliau, pada ketika ini, NCD masih menunjukkan peningkatan di sebalik promosi dan pendidikan kesihatan yang diberikan.
“Jabatan Statistik Malaysia melaporkan bahawa Penyakit Jantung Iskemik masih lagi merupakan penyebab utama kematian pada tahun 2018.
“Purata 50 kematian sehari direkodkan berbanding 37 kematian pada tahun 2017. Jumlah kematian ini meningkat sebanyak 35 peratus, iaitu 18,267 kematian pada tahun 2018 berbanding 13,503 kematian pada tahun 2017,” katanya.
Turut hadir adalah Timbalan Mentri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang juga MP Stampin Chong Chieng Jen. — DayakDaily