DVVS pantau sempadan Lawas-Sabah, pastikan wabak demam babi tidak menular ke Sarawak

Pegawai DVVS melakukan pemeriksaan terhadap ternakan babi di Lawas. Sumber: Ukas

KUCHING, 17 Mac: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) akan terus mengadakan pemantauan di kawasan sempadan Sarawak dan Sabah bagi memastikan wabak demam babi (African Swine Fever) tidak memasuki negeri ini.

Ketua Perkhidmatan Veterinar Sarawak (DVSS) Lawas Robine Asut berkata, sebanyak 16 buah kampung dan sejumlah 851 ekor babi telah pun diperiksa di sepanjang minggu ini.

Katanya, program akan diteruskan ke beberapa buah kampung lain di daerah Lawas.

“Sepanjang satu minggu pertama program dijalankan iaitu dari 8 hingga 13 Mac 2021, Jabatan Veterinar Sarawak telah melawat 16 buah kampung di kawasan Merapok yang berhampiran dengan sempadan Sabah.

“Sebanyak 102 orang penternak kecil telah dibuat pemantauan, diberikan kesedaran, taklimat, ceramah dan risalah berkaitan dengan wabak penyakit ini.

“Mereka juga diberikan penerangan mengenai program-program yang diberikan Jabatan Vateriner Sarawak,” katanya, menurut petikan laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Beliau berkata demikian ketika ditemui bagi mengulas Kempen Kesedaran dan Survelan mengawal wabak demam babi bagi daerah Lawas 2021 pada baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, DVSS katanya akan terus menjalankan pemeriksaan dan membuat pemantauan terhadap penyakit kaki dan mulut walaupun ketika ini Sarawak bebas daripada penyakit itu. — DayakDaily