MIRI, 15 Mei: Berang kerana ibunya enggan memberikannya wang dan kunci kereta, seorang lelaki dari Ulu Niah bertindak mengugut mangsa menggunakan selaras senapang patah.
Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah rumah panjang di Niah pada 11 Mei (Selasa), sekitar jam 5 petang.
Selain dari mengugut ibunya yang berusia 58 tahun itu, suspek juga telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ibunya.
Susulan kejadian, kerana bimbang akan keselamatan dirinya, mangsa telah bertindak membuat laporan polis.
Sepasukan anggota Polis dari Batu Niah dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri telah menahan suspek berusia 31 tahun itu di kediaman ibunya di Niah.
Turut ditemui dan dirampas dari suspek dua butir peluru hidup dan selaras senapang patah disyaki buatan sendiri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. — DayakDaily