Dua wanita warga emas sesat enam jam ditemui selamat

Kelihatan mangsa yang sesat ditemui selamat.

KUCHING, Sept 13: Dua wanita warga emas yang asyik mencari lokan berdepan detik mencemaskan apabila mereka tersesat hampir enam jam sebelum mereka ditemui di kawasan hutan Tabu berhampiran Kampung Bako di sini malam tadi.

Kedua-dua wanita yang masing-masing berusia 56 dan 63 tahun itu dijumpai pasukan bomba dan penduduk kampung kira-kira 9 malam.

Menurut sumber, sebelum itu, kedua-dua wanita berkenaan dikatakan keluar mencari lokan kira-kira pukul 3 petang.


Bagaimanapun, mereka yang asyik mencari lokan difahamkan lupa jalan pulang semula ke kampung tersebut.

“Ahli keluarga mangsa yang menyedari kedua-dua wanita berkenaan belum pulang ke rumah kemudian menghubungi pihak bomba untuk melakukan operasi mencari dan menyelamat,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, jurucakap bomba memberitahu, sejurus menerima laporan berhubung kehilangan mangsa, sepasukan anggota bomba kemudian diarahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di kampung berkenaan, pasukan bomba kemudian bertindak melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat.

“Selepas beberapa jam melancarkan operasi tersebut, pasukan bomba kemudian mengesan kedua-dua mangsa.

“Semasa ditemui pada pukul 9 malam, kedua-dua mangsa dalam keadaan selamat, namun kelihatan keletihan,” katanya. — DayakDaily