Juetila Ozzy
BAU, 10 Dis: Berselindung di sebalik kedai runcit, dua wanita warga Indonesia disyaki ejen tambah nilai judi ‘online’ ditangkap dalam satu serbuan sekitar jam 1.20 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bau DSP Poge Nyaon berkata suspek berusia 21 dan 39 tahun terbabit semasa diperiksa didapati berasal dari Pontianak dan Sinkawang, Indonesia.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan ke atas kedai runcit tersebut berjaya menemui bukti jelas mengesyaki kedua-dua suspek menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
“Sungguhpun begitu, siasatan lanjut masih dijalankan dan kedua-dua suspek juga ditahan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Poge selain itu memberitahu pihaknya turut merampas wang tunai, telefon bimbit, sim kad Dan set modem Wi-Fi.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara selama tiga tahun jika disabitkan kesalahan.
“Suspek juga disiasat di bawah Sekyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara selama lima tahun,” tegasnya. — DayakDaily
Advertisement