SERIAN, 15 Dis: Sebuah kereta jenis Perodua Myvi dikatakan tiba-tiba terbakar di jalan Kampung Sungai Bedup, Serian hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata semasa kejadian kereta tersebut dipandu seorang wanita berusia 58 tahun dan seorang penumpang wanita berusia 51 tahun.
Kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Sri Menanti, Serian bagaimanapun berjaya menyelamatkan diri dengan turut dibantu oleh orang awam.
“Kejadian dilaporkan pukul 9.13 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian terus ke lokasi kejadian.
“Kebakaran yang membabitkan bahagian bonet hadapan, enjin, dashboard serta kedua-dua tayar bahagian hadapan berjaya dipadamkan menggunakan satu saluran bantu mula air daripada tangki jentera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Operasi memadam kebakaran yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Christopher Tugoh tamat sepenuhnya pada jam 10.02 pagi.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily