Dua tekong darat termasuk seorang wanita ditangkap di Serian juga disahkan positif dadah

Kedua-dua tekong darat terbabit yang ditangkap bersama PATI kemudian dibawa ke IPD Serian untuk tindakan selanjutnya.
Advertisement

SERIAN, 4 Jun: Dua lagi tekong darat termasuk seorang wanita diberkas cuba menyeludup masuk tiga lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata tangkapan dibuat dalam satu operasi Ops Benteng di Jalan Serian-Tebedu sekitar jam 11 pagi.

Jelasnya, pasukan yang membuat tinjauan telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dilihat mencurigakan dan terus mengekorinya sehingga Taman Rekreasi Serian.

Advertisement

“Anggota operasi membuat sekatan pada kereta tersebut dan hasil pemeriksaan mendapati di dalamnya terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun serta seorang wanita tempatan berusia 41 tahun sebagai tekong.

“Terdapat juga tiga lelaki Indonesia  berusia 26 hingga 51 tahun yang masing-masing tiada dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kedua-dua warga tempatan terbabit ditangkap di bawah Akta ATIPSOM 2007 dan turut direman dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Manakala tiga PATI terbabit ditahan reman di bawah Akta Imigresen.

“Siasatan mendapati ketiga-tiga warga Indonesia terbabit masuk ke Sarawak menggunakan lorong tikus untuk mencari pekerjaan di Sibu,” katanya.

Selain itu pemeriksaan di dalam kereta juga menjumpai satu paket plastik lutsinar mengandungi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.

“Ujian air kencing kedua-dua suspek (tekong) juga didapati positif dadah jenis Meth dan kes juga disiasat di bawah Seksyen 12(3) dan 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. — DayakDaily

Advertisement