Dua Tangki Aras Tinggi bakal dibina di Stakan

Julaihi melawat tapak Projek Bekalan Air HLT 1 dan HLT 2 di Samarindah. Foto: UKAS
Advertisement

KUCHING, 27 Okt: Dua Tangki Aras Tinggi (HLT) bakal dibina bagi menampung kegunaan air terawat yang meningkat di kawasan Stakan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Julaihi berkata, Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan RM30.5 juta bagi tujuan tersebut.

Katanya, pembinaan HLT bersaiz 4.5ML itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Air Kuching (LAK).

Advertisement

“Projek itu akan mengambil masa 12 bulan bagi tempoh pembinaan untuk memenuhi permintaan penggunaan air terawat yang semakin meningkat dengan pesatnya di Samarindah dan Muara Tuang serta kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena lawatan kerja ke Stakan di Institut Kemajuan Desa (INFRA) Cawangan Sarawak di sini pada Sabtu.

Selepas mendengar taklimat, beliau serta rombongan telah melawat tapak Projek Bekalan Air HLT 1 dan HLT 2 di Samarindah, Pencawang Stakan 132/33/11kV dan tapak Projek Point of Presence 2 di Sekolah Kebangsaan (SK) Binyuk.

Sejurus itu, Julaihi melawat tapak paip pecah di Jalan Kuching-Samarahan Expressway yang menyebabkan gangguan bekalan air di sekitar kawasan Stakan.

Dalam pada itu, beliau berharap pihak yang wajib akan mengambil tindakan yang sewajarnya agar pembaikan disiapkan secepat mungkin. — DayakDaily

Advertisement