Dua suspek curi kenderaan dicekup selepas terlibat dalam kemalangan

Anggota bomba memberi rawatan kepada suspek sebelum suspek diserahkan kepada pihak polis.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 5: Dua suspek curi kenderaan yang cuba melarikan diri dari pihak berkuasa berjaya dicekup selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Padungan di sini malam tadi.

Kedua-dua suspek lelaki itu dicekup selepas mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya kira-kira pukul 10.55 malam.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian itu seorang suspek mengalami kecederaan, manakala seorang lagi tidak cedera.

Katanya, pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian kemudian memberi rawatan kepada suspek sebelum suspek dibawa ke balai polis.

“Kedua-dua suspek berkenaan kini ditahan untuk membantu siasatan,” katanya di sini hari ini. — DayakDaily