KANOWIT, Jun 2: Dua daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas semasa mandi di Nanga Ulin, Sungai Poi dekat sini pada Khamis lalu ditemui mati lemas hari ini.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, mangsa pertama, Roderick Benedict Rody, 12, ditemui pada pukul 9.45 pagi.
Katanya, mayat kanak-kanak malang itu dijumpai di Nanga Apek iaitu kira-kira 10 kilometer (km) dari tempat mangsa itu dipercayai lemas.
“Mangsa kedua pula, Henry Tataw, 28, ditemui oleh penduduk kampung bersama anggota bomba pada pukul 9.50 pagi iaitu pada jarak 2km dari mangsa pertama dijumpai.
“Bagaimanapun, mangsa ketiga iaitu Presley Tataw, 27, masih belum ditemui setakat ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, buat masa ini, operasi SAR masih memberi tumpuan kepada pencarian di permukaan air di sepanjang sungai berkenaan.
“Sebarang maklumat terkini mengenai operasi mencari dan menyelamat akan disalurkan dari semasa ke semasa,” katanya.
DayakDaily semalam melaporkan perayaan Hari Gawai Dayak yang disambut sudah tiada makna lagi buat dua keluarga apabila dua beradik serta seorang saudara mereka dikhuatiri lemas semasa mandi di Nanga Ulin, Sungai Poi sini.
Sebelum kejadian itu, Presley bersama Roderick Benedict dikatakan sedang mandi di sungai berhampiran dengan rumah panjang mereka.
Kedua-dua mangsa kemudian dikatakan kelihatan hampir lemas ketika sedang mandi.
Henry yang kebetulan ketika itu sedang duduk di jeti sungai melihat kejadian kemudian bertindak terjun menyelamatkan kedua-dua mangsa.
Namun, malang menimpanya apabila dia turut dihanyut arus sungai yang deras bersama dua lagi mangsa. — DayakDaily