Peniaga perlu letak harga rendah selepas sifar GST

Anggota KPDNKK menjalankan pemeriksaan di Giant Hypermarket, Tabuan Jaya.

KUCHING, Jun 1: Semua peniaga di negeri ini harus meletakkan harga yang lebih rendah untuk pengguna selepas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar hari ini.

Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak, Md Nawawi Ab Rahman berkata, para peniaga juga diminta menurunkan harga barangan seterusnya memberi manfaat kepada para pengguna.

Jelasnya, semua peniaga mesti melaksanakan penurunan harga barang dan perkhidmatan berikutan cukai barang dan perkhidmatan yang dikenakan pada kadar sifar mulai hari ini.


“Kita melaksanakan Operasi Catut 4.0 bermula hari ini bagi mengesan peniaga yang masih berdegil memanipulasi harga terhadap pengguna.

“Ini kerana dalam sistem perniagaan terbuka para peniaga wajar meletakkan harga yang lebih rendah berbanding sebelum ini,” katanya selepas mengadakan pemeriksaan di Giant Hypermarket, Tabuan Jaya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Md Nawawi memberitahu, semua peniaga yang berdaftar GST juga perlu mematuhi penetapan pengenaan kadar sifar tersebut.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan bekalan barang dan perkhidmatan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan perkhidmatan yang diimport akan dikenakan GST pada kadar sifar, berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.

Kerajaan akan mengambil langkah-langkah tegas bagi memastikan harga barang dan perkhidmatan yang ditetapkan adalah mematuhi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Peniaga boleh merujuk soalan lazim berkaitan tempoh peralihan enam peratus kepada kadar sifar yang telah dimuat naik dalam laman web www.customs.gov.my dan portal gst.customs.gov.my. — DayakDaily