Dua soalan, satu usul ditolak pada persidangan DUN esok

Mohamad Asfia (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Pra-DUN di Ibu Pejabat PBB di Kuching.
Advertisement

KUCHING, 8 Nov: Dua soalan dan satu usul ditolak daripada dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak esok.

Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, dua soalan yang ditolak itu adalah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palawan Datuk David Wong Kee Woan dan ADUN Bukit Assek Irene Mary Chang manakala usul yang ditolak pula diutarakan oleh ADUN Bukit Sentosa Chong Chen Jen.

Kesemua ADUN terlibat telahpun dimaklumkan oleh setiausaha DUN Pele Peter Tinggom berkenaan penolakan tersebut menerusi satu surat bertarikh 6 November lalu.

Advertisement

Beliau berkata, penolakan usul yang di kemukakan oleh Chong ditolak oleh setiausaha DUN disebabkan ia dihantar dan diterima selepas tarikh akhir untuk penghantaran usul, iaitu pada 30 Oktober lepas.

“Usul oleh ADUN Kota Sentosa diterima pada 2 November pada jam 2.50 petang, iaitu 2 hari setengah lewat tarikh dan masa akhir yang ditetapkan untuk tujuan berkenaan,” katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Pra-DUN di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Asfia berkata, dibawah Peraturan Mesyuarat 23 (1), usul tersebut mesti diserahkan tidak kurang daripada sepuluh hari sebelum tarikh tutup.

Sementara itu , Asfia berkata, penolakan soalan ADUN Palawan dilakukan berpaksikan peraturan Mesyuarat 20 (2)(H) selepas merasakan soalan terbabit adalah cubaan memberikan ungkapan pendapat bagi penyelesaian sesuatu kes undang-undang ataupun jawapan kepada soalan hipotesis.

“Alasan kedua penolakan tersebut berdasarkan Peraturan Mesyuarat 35 (2) yang menerangkan ia adalah tidak wajar untuk mengantisipasi perbahasan usul yang notis telah diberikan dengan membincangkan mengenai pindaan atau dengan membangkitkan perkara yang sama setelah usul penangguhan dewan dalam pertanyaan tersebut” katanya.

Manakala penolakan soalan oleh ADUN Bukit Assek pula berdasarkan Peraturan Mesyuarat 20 (2)(C) yang menetapkan setiap soalan seharusnya tidak mengandungi sebarang pertanyaan tidak boleh mengandungi hujah, pengaruh, pendapat, sangkaan, ekspresi yang menyesatkan atau menyinggung perasaan.

Ujarnya, alasan kedua bagi penolakan soalan terbabit juga berdasarkan peraturan Mesyuarat  20 (2)(H) yang melarang soalan untuk ekspresi pendapat, mendapatkan cara penyelesaian kepada kes undang-undang atau membangkitkan perkara yang sama setelah usul penangguhan dewan. –DayakDaily

Advertisement