Dua remaja temui ajal dalam kemalangan di Limbang

Kelihatan keadaan kemalangan yang melibatkan dua motosikal di Limbang.

LIMBANG, Jun 5: Malang menimpa dua remaja lelaki apabila mereka menemui ajal dalam nahas melibatkan dua motosikal di Jalan Airport di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu mengakibatkan Mohammad Azlan Abdul Hamid, 18, dan Harreild Hellvian Hary, 16, maut akibat kecederaan parah pada anggota badan mereka.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, Mohammad Azlan disahkan meninggal dunia di wad kecemasan Hospital Limbang pada pukul 11.30 malam.

Katanya, Harreild pula disahkan meninggal dunia di hospital sama pada pukul 3.45 pagi.

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku apabila Mohammad Azlan yang menunggang motosikal Yamaha 125 Z merempuh motosikal Yamaha LC 135 yang ditunggang Harreild.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila Harreild dikatakan secara tiba-tiba keluar dari simpang hingga menyebabkan Mohammad Azlan gagal mengawal motosikalnya lalu merempuh motosikal Harreild,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, kesan rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan di kepala dan badan.

Katanya, keadaan cuaca adalah baik pada waktu kejadian dan permukaan jalan kering.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya lagi. — DayakDaily