Dua remaja sesat di hutan Kem Permai, Santubong ditemui selamat

Gambar komposit sepanjang operasi SAR tersebut hari ini.

KUCHING, 31 Mei: Dua remaja lelaki yang dilaporkan sesat di hutan Permai Rainforest Santubong, di sini sejak semalam ditemui dalam keadaan selamat pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dilancarkan sebaik sahaja menerima laporan kejadian pada jam 6.42 petang Isnin.

Katanya, usaha mencari kedua-dua mangsa berusia 19 tahun itu ditangguhkan selepas itu dan disambung semula pada awal pagi tadi dengan turut disertai anggota Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Operasi SAR disambung hari inI dengan terbahagi kelapa tiga kumpulan yang melakukan pencarian di sekitar kawasan Kem Permai.

“Ketika pencarian di lakukan, pasukan operasi mendengar suara mangsa dan anggota terus melakukan ‘off trail’ ke lokasi suara mangsa didengari sehingga berjaya menjumpai kedua-dua mangsa pada jam 11.25 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seterusnya kedua-dua mangsa dibawa keluar dari dalam hutan tersebut ke Pusat Kawalan Bomba di Kem Permai.

Dilaporkan keadaan kedua-dua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.

Pemeriksaan kesihatan telah dilakukan oleh petugas kesihatan sebaik tiba di PKB.

Turut sama dalam operasi tersebut ialah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC). — DayakDaily