This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 5 Ogos: Dua remaja perempuan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan kereta di Batu 13, Jalan Kuching-Serian, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kedua-dua mangsa berusia 18 tahun dan menaiki sebuah motosikal semasa berlakunya kemalangan tersebut.
Katanya, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9.14 malam.
“Kemalangan berlaku apabila kedua-dua mangsa dikatakan menyeberang jalan menggunakan motosikal dan apabila melepasi pembahagi laluan (tengah jalan) lalu masuk ke laluan kereta yang bergerak lurus dari arah Serian menyebabkan mereka dirempuh di bahagian belakang.
“Mangsa (penunggang) tercampak di atas pembahagi laluan manakala pembonceng tercampak di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, kedua-dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian oleh paramedik Hospital Umum Sarawak (HUS).
Manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily