Dua remaja lelaki maut selepas motorsikal bertembung di Jalan Kuala Baram Bypass

Keadaan di lokasi kejadian. Kedua-dua remaja terbabit maut serta merta.

MIRI, 15 Sept: Dua remaja lelaki maut selepas motorsikal yang ditungang masing-masing bertembung di Jalan Kuala Baram Bypass petang semalam.

Ketua polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.10 petang semalam.

Menurutnya, kedua-dua remaja lelaki yang masing-masing berusia 16 dan 17 tahun itu disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Miri pada jam 7.10 malam.


“Kemalangan melibatkan dua buah motorsikal jenis SYM Sport Bonus dan Yamaha Y15ZR,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, sebelum kejadian, SYM Sport Bonus yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 16 tahun menghala keluar ke jalan besar Kuala Baram Bypass dan sebuah lagi motorsikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang oleh seorang lelaki berumur 17 tahun yang datang dari arah jalan besar Kuala Baram Bypass.

Siasatan di tempat kejadian mendapati bahawa penunggang motorsikal SYM Bonus telah gagal mengawal motorsikalnya sehingga menyebabkan motorsikalnya bertembung dengan motorsikal Yamaha Y15ZR.

Kedua-dua motorsikal telah mengalami kerosakan di seluruh bahagian hadapan.

Satu kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily