Dua remaja hilang di sungai dekat Durin, Sibu ditemukan mati lemas

Pasukan SAR mengangkat mayat mangsa dari sungai berkenaan.

SIBU, 14 Mei: Dua remaja lelaki yang dilaporkan hilang dihanyutkan arus deras sungai di Dutin Bazaar, di sini ditemukan mati lemas pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa pertama ditemui pada jam 7.35 pagi dan mangsa kedua ditemui pada jam 8.15 pagi.

Katanya, kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia.


“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ketiga dimulakan dengan kaedah water surface dengan radius pencarian diperluas pada jarak 6 kilometer dari tempat kejadian.

“Pada jam 7.35 pagi mangsa pertama telah dijumpai dan mangsa kedua dijumpai pada jam 8.15 pagi oleh orang awam bersama pasukan SAR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengecaman dan pengesahan juga telah dilakukan oleb ibu bapa kedua-dua mangsa.

Mayat kedua-dua kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada Jumaat lepas, kedua-dua mangsa dikatakan bersama seorang lagi rakan bermain dan mandi di sungai tersebut sekitar jam 5 petang.

Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 15 tahun dilaporkan hilang dibawa arus dan tengelam kira-kira 10 meter dari jeti berhampiran.

Laporan telah dibuat selepas itu dan operaai SAR dilancarkan sehingga mayat mangsa ditemui hari ini.

Operasi SAR ditamatkan pada jam 9.55 pagi hari ini. — DayakDaily