Dua remaja ditahan atas syak pecah rumah di Jalan Tanjong Batu

Ketiga-tiga suspek (barisan depan) ditahan polis untuk siasatan.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 30 April: Dua remaja lelaki antara tiga ditahan polis tengahari tadi (Jumaat, 30 April), kerana disyaki terlibat dalam kegiatan memecah masuk sebuah rumah yang sedang dalam proses pengubahsuaian di Jalan Tanjong Batu di sini.

Insiden tersebut menyebabkan pemilik rumah yang bekerja dengan sebuah syarikat minyak di sini kerugian RM6,000.

Advertisement

Menurut sumber, kejadian disedari salah seorang pekerjanya pada Khamis (29 April) sekitar jam 8.30 pagi.

Hasil pemeriksaan dilakukan mangsa, sejam kemudian mendapati beberapa peralatan bilik mandi dan dapur telah hilang.

Susulan kejadian, mangsa telah membuat laporan polis.

Tangkapan dibuat sepasukan anggota Task Force IPD Miri melalui Ops Pintu sekitar jam 12.10 tengahari Jumaat.

Dua suspek remaja ditahan di kawasan semak tepi jalan Katong, manakala suspek ketiga dicekup di sebuah rumah di Pujut Padang Kerbau, kurang 10 minit selepas tangkapan pertama.

Penahanan kesemua suspek membawa kepada penemuan beberapan barangan dipercayai dicuri dari kejadian.

Salah satu barangan yang ditemui adalah sebuah mangkuk tandas.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari mengesahkan tangkapan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily

Advertisement